Pelbagai adat resam dan pantang larang tertentu diamalkan oleh masyarakat Cina dalam aspek ini dan ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung dan selepas lahir.
Sewaktu Mengandung
Pelbagai bentuk adat resam dan pantang larang diamalkan oleh wanita masyarakat Cina semasa mengandung dan juga selepas bersalin untuk memastikan bayi yang bakal lahir itu tidak ditimpa kejadian buruk seperti keguguran, kecacatan atau kematian. Wanita-wanita masyarakat Cina yang mengandung sentiasa diberikan kawalan ketat di dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka. Dalam masyarakat Cina ibu mertua bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami. Masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu sahaja dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.
Pantang Larang
Terdapat banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung dan diantaranya ialah tidak dibenarkan melakukan kerja-kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan. Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi dari terkena badi. Mereka juga digalakkan bekerja supaya mudah bersalin. Sebarang konflik atau perselisihan perlu dihindari supaya kandungan tidak mengalami sebarang gangguan. Memberi nama kepada bayi yang belum lahir semasa mengandung juga adalah antara pantang larang dalam masyarakat Cina. Ini adalah untuk mengelakkan perasaan kecewa bila harapan tidak tercapai. Selain itu wanita hamil tersebut tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana bayi yang lahir kelak akan mempunyai sifat yang manja. Dari segi penjagaan makanan, wanita yang hamil dilarang sama sekali makan makanan yang �tajam� seperti nenas dan mangga serta tidak digalakkan makan banyak kerana ditakuti bayi akan menjadi besar dan ini akan membuatkan ibu sukar untuk bersalin. Untuk menentukan samada kandungan itu lelaki atau perempuan, maka masyarakat Cina melihat bentuk perut wanita yang hamil, terutama apabila kandungan berusia empat bulan ke atas. Jika perut ibu agak bulat, bayi yang dikandung adalah perempuan dan sebaliknya lelaki jika perut kelihatan tajam.
No comments:
Post a Comment