Anak atau zuriat adalah suatu kurniaan Tuhan yang tidak ternilai bagi setiap pasangan suami isteri. Bagi masyarakat Melayu yang rata-ratanya beragama Islam, adalah dipercayai setiap anak yang dilahirkan mempunyai rezekinya masing-masing, justeru itu setiap kelahiran itu perlu disyukuri. Dalam aspek kelahiran ini, masyarakat Melayu banyak mengamalkan adat-adat tertentu yang diwarisi sejak turun temurun. Ia merangkumi peringkat sewaktu mengandung, bersalin dan selepas lahir.
Sewaktu MengandungAdat ini juga dipanggil Kirim Perut oleh masyarakat Melayu di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan di sesetengah tempat dikenali sebagai Mandi Tian. Upacara ini dilakukan kepada wanita yang mengandung anak sulung ketika kandungan berusia dalam lingkungan tujuh atau lapan bulan. Ia dijalankan oleh seorang bidan untuk membuang geruh atau kecelakaan yang mungkin menimpa wanita hamil yang bakal bersalin dan bagi membetulkan kedudukan bayi di dalam perut.
Tujuh helai kain dengan tujuh warna berlainan
Segantang beras
Sebiji kelapa
Beberapa urat benang mentah
Damar
Minyak kelapa atau minyak urut
Lilin
Tepak sirih yang lengkap isinya
Pengeras sebanyak RM1.25
Pada permulaannya bidan akan membacakan jampi mentera dan mengandam wanita hamil tadi. Tepung tawar dicalit ke mukanya dan beras kunyit ditabur.
Upacara Adat Melenggang Perut |
Seterusnya adat mandi sintuk limau dan air buyung dilakukan. Sebiji telur diselitkan di kain basahan iaitu di bahagian perutnya dan sebuah cermin kecil dibawa bersama. Wanita itu didudukkan di atas kerusi di mana pada kaki kerusi itu ditambat seekor ayam. Kemudian air buyung dijiruskan ke badannya manakala telur tadi dilepaskan atau dijatuhkan dengan kepercayaan ia akan memudahkan wanita tadi bersalin.
Setelah membersihkan badan, wanita itu bercermin muka dengan harapan anak yang bakal lahir nanti mempunyai rupa paras yang cantik. Setelah acara itu selesai bidan akan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berbentuk melintang sehelai di atas sehelai yang lain. Ibu yang hamil dibaringkan di atas lapisan kain-kain tersebut. Bidan akan mengurut ibu yang yang hamil dengan menggunakan minyak kelapa atau minyak urut. Bidan mengambil buah kelapa yang telah dibersihkan lalu menggulingkannya perlahan-lahan di atas perut terus ke hujung kakinya sebanyak tujuh kali. Adalah dipercayai sekiranya kelapa berhenti bergolek dengan matanya ke atas, anak yang dikandungnya adalah lelaki dan perempuan jika sebaliknya. Akhirnya bidan akan melenggangkan setiap helai kain tersebut pada perut wanita hamil itu. Mengikut adatnya, kain yang di bawah sekali diberikan kepada bidan beserta dengan peralatan upacara tadi. Lazimnya pada hari tersebut, kenduri doa selamat akan diadakan dan ibu yang menjalani upacara ini dipakaikan dengan pakaian baru. Adalah dipercayai adat ini mengandungi unsur-unsur budaya Hindu.
No comments:
Post a Comment